Thursday, 26 April 2012

Cinta Pertama


Di awal tahun 2009, hubungan aku dan si dia putus dengan penampar sulung ku di pipinya yang penuh dengan jerawat itu. Dia tergamam, mungkin. Aku terus melempar handphone si dia ke atas ribanya dan berlari keluar dari kereta milik kawan si dia. Malam itu, aku menangis sesungguh hati aku. Sakit, teramat sakit. Cinta pertama ku kecundang. Hanya bertahan selama 4 bulan.

Hari-hari ku pada 5 bulan berikutnya, perit. Sakit dan amat pedih. Ku lalui hari-hari itu dengan tangisan dan air mata. Pantang terlintas tentang si dia di fikiran, tanpa dapat aku kawal, mata ku bergenang. Tidak kira samada di dalam bas dalam perjalanan pulang ke kampong, ketika bermain bola dengan adik-adik, sedang menonton cerita lawak, makan, minum...segalanya. Hidup aku benar-benar berputar di sekitar bayangan si dia.

Source: weheartit.com 

Namun, aku tidak tunduk pada tangisan ku. Aku bergiat aktif di dalam sebuah laman sosial. Bodoh dan naïf sungguh aku di kala itu. Aku menjadi seorang perempuan yang suka bermain. Dalam erti kata sebenar, kehidupanku sebagai playgirl bermula semula. Ya, sebelum itu aku pernah menjadi perempuan itu. Kemudian ku pertaruhkan setia di mana setia ku dimainkan. Dan kini, kehidupan ku sebagai playgirl menjadi-jadi.

Suatu hari, selepas 5 bulan aku dan si dia sudah tiada apa-apa hubungan, dia menghubungi ku. Pada suatu malam, pada waktu aku sedang sibuk melayan lelaki di dalam laman sosial itu. Aku terkedu sewaktu aku melihat nombor si dia pada skrin handphone ku. Kerana tindakan refleksku lebih cepat dari proses untuk otakku menyampaikan maklumat apa yang patut aku lakukan, "Hello, Assalamulaikum, Nur" kedengaran. Panggilannya terhadapku menggetarkan seluruh tubuhku pada dinginnya malam itu.

Aku mencuba berlagak seperti biasa. Bertanya khabar dan segalanya. Dia menghubungiku untuk bertanya sesuatu tentang sesuatu berkaitan dengan aplikasi dari pelajaranku di sebuah universiti tempatan. Pada hujung talian, tiba-tiba aku mendengar suatu suara menjerit dari dalam talian, mungkin rakan si dia "cakaplah I LOVE YOU". Dia diam, aku juga diam. Aku terus memutuskan talian dan berlari masuk ke dalam bilik, menyembam muka ku di atas bantal dan menangis sepuas hati aku. Kenapa si dia muncul lagi. Aku sudah kering air mata untuk menangis kerana si dia lagi.

Setelah hampir reda tangisku, tanpa berfikir panjang aku menghubungi seseorang yang ku kenali dalam laman sosial itu. Aku bercerita tentang panggilan itu dan segalanya dan tanpa sedar aku telah bersetuju untuk menjadi teman wanitanya.

Namun, hubungan yang dibina tanpa apa-apa sandaran, masakan bertahan. Dia lelaki baik, mempunyai rupa paras menarik, dan bergaya. Namun, dia tetap masih kebelakang dibandingkan dengan si dia, cinta pertamaku. Pergaduhan yang selalu terjadi, acapkali aku meminta hubungan itu diputuskan, akhirnya menjadi nyata. Mungkin dia menyangka, marahku sekadar itu. Mungkin dia mahu sejukkan hatiku yang panas, atau mungkin mahu memberi aku ruang untuk bernafas. Namun, tindakan dia silap. Kerana pada waktu yang sama, entah bagaimana aku menyedari kewujudan seorang lelaki di dalam kelas ku yang berwajah dan bersikap seperti si dia, cinta pertamaku.

Kemudian, tidak lama selepas itu, aku dan lelaki "klon" si dia itu "bercinta". Hubungan itu bertahan selama setahun. Ya, lama dan kelihatan seperti itu adalah satu hubungan yang meyakinkan kan. Itu semua tipu. Selama setahun dengan dia. Perangai aku menjadi semakin teruk. Sangat teruk. Berganti-ganti skandal aku. Hubungan aku dan dia berakhir pun kerana salah seorang skandal ku menceritakan tentang aktivitiku pada dia.

Sejujurnya, setelah semua berakhir, aku lega sangat. Aku cuba berubah menjadi apa yang patut aku jadi. Aku fokus pada pengajianku yang sudah berada pada penghujungnya. Aku mula menghabiskan masa dengan kawan-kawan. Walaupun, masalah keluarga aku masih tak dapat diselesaikan, aku sangat lega tidak perlu menjadi jahat lagi.

Beberapa ketika kemudian, aku ada berhubung dengan si dia, cinta pertamaku. Entah bagaimana aku terfikir untuk mengguna kata laluan lamanya untuk masuk ke dalam Facebook si dia, dan aku berjaya. Namun, itulah saat semuanya terbongkar. Betapa tidak menyesalnya aku menampar dan teguh dengan pendirianku untuk berpisah dengan dia. Memang si dia jantan yang sial. Itu saja yang aku mampu cakapkan. Berpura-pura baik di depan teman wanita, dan menjadi sundal di sebalik gambar "profile" nya yang memaparkan nama Allah dan Muhammad. WTH!!!!

Akhirnya aku menghubungi dia untuk memaklumkan tentang hal aku masuk ke dalam Facebook si dia. Pada mulanya, alasan si dia, aku masih tidak matang untuk menafsir hubungan persahabatan dia dan teman-teman wanitanya. (Kepala otak kau!). Aku membalas, aku dah lalui macam-macam. Aku tak bodoh seperti teman wanita kau. Kemudian, dia menjadi sial sesialnya. Tidak habis-habis menghantar mesej mengajak aku melakukan perkara tidak elok.

Aku terus mendiamkan diri. Begitu juga dia. Entah kenapa pada suatu hari, aku terlalu rindu untuk bertemu si dia. Ya, rindu pada lelaki sundal itu, bodoh sungguh aku. Namun, aku berani untuk bertemu dia di suatu tempat kerana aku pernah bercinta dan sayang kepada dia. Aku yakin, dia takkan melakukan apa-apa terhadap aku. Pertemuan itu seperti "double date". Bersama-sama kawannya yang pernah menjadi saksi hubungan aku dan si dia.

Terlalu banyak untuk dikenangkan. Pada waktu itu, aku meilhat dia dan tanpa sedar aku tersenyum, "Aku cintakan kau". Tanpa apa-apa alasan, aku mencintai kau yang tidak pernah menghargaiku.

Setelah dia menghantar aku balik, aku mesej dia berkata itu adalah pertemuan terakhir aku dan dia. Dia keluar bersama aku kerana mengharapkan sesuatu, namun aku bukan sesundal itu. Aku bukan pelacur simpanan untuk kau lampiaskan nafsu di kala topeng mu menjadi-jadi di hadapan teman wanita mu.

Aku tahu, dan aku sedar ia sudah berakhir.

Beberapa bulan selepas itu, dia menghantar pesanan di chatbox ku. "Maafkan salah aku selama ini. Aku harap kau bahagia". Pada hari itu, air mata aku mengalir lagi untuk si dia, namun bukan kerana sedih. Tapi aku gembira, kisah aku dan dia berakhir.

Sejak itu aku belajar, cinta pertama yang kecundang tidak mungkin dapat dibuang dari ingatan sebegitu mudah. Kau mungkin takkan pernah melupakannya kerana dia adalah cinta pertama. Satu perasaan asing pada pertama kalinya menembusi hatimu dan bertakhta di situ buat seketika.

Aku tidak pernah lupakan cinta pertama aku. Namun, aku sudah boleh tersenyum dan ketawa sambil berkata, "ya, dia adalah cinta pertama aku", "dia adalah insan yang paling aku sayang". Dan, aku teruskan hidup aku mencari sebuah cinta yang bisa menjadi galang ganti pada cinta pertamaku yang kecundang.

p/s: Sudah hampir 5 tahun berlalu, si dia masih dalam ingatan. Hanya sebagai kenangan. Sejarah di dalam lipatan untuk simpanan. Hatiku masih lagi sunyi tanpa cinta. Takut mungkin. Takut untuk mempercayai hadirnya rasa asing di dalam hati dan dilukai oleh sesuatu yang kau anggap manis.

No comments:

Post a Comment